Tuesday, March 5, 2013
أشهد أن لا إله إلا الله
Sebelum ini kita telah membincangkan mengenai sifat-sifat Allah yang maha suci daripada sifat-sifat kekurangan seperti bertempat, berarah dan berjisim. Dalil daripada Al-Quran yang mensucikan Allah daripada menyerupai makhluk ialah dari Surah Asy-Syura ayat 11, firman Allah :
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِير
Maksudnya: tiada suatupun yang menyerupai Allah dan Dia maha mendengar lagi maha melihat.
Maka fahamlah di sini bahawa hanya Allah yang tiada permulaan sedang yang lain dari Allah ada permulaan iaitu baharu, Allah adalah pencipta sedang yang lain adalah dicipta. Maka setiap perkara baharu yang ada, daripada sekecil-kecil benda yang dilihat di mata kasar iaitu zarrah hingga sebesar-besar benda yang berbentuk iaitu 'arasy dan kerja setiap benda tersebut, dan daripada setiap gerakan bagi hamba, serta diam, segala niat dan lintasan dalam fikiran, semuanya adalah dengan ciptaan Allah semata-mata. Tiada yang menciptanya selain dari Allah, bukanlah dengan semula jadi dan bukan dengan sebab bahkan ada dengan kehendak Allah dan kuasaNya, dengan ilmuNya dan ketentuanNya yang azali(yang tiada permulaan), ini berdasarkan firman Allah ta'ala :
وَخَلقَ كُلَّ شَيْء
Maksudnya : Dan Dialah yang telah mencipta tiap-tiap sesuatu (Surah Al-Furqan, ayat 2)
iaitu(maksud mencipta) yang mengadakan sesuatu daripada tiada kepada ada, maka tiadalah yang mencipta dari fahaman ayat ini selain dari Allah.
Firman Allah ta'ala:
هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ الله
Maksudnya : Allah jua pencipta, tiada yang mencipta selain Allah (Surah Fathir, ayat 3)
Telah berkata Imam Nasafi dalam kitabnya Matan Aqidah An-Nasafiyah, maknanya:"Apabila seseorang melempar kaca dengan batu hingga pecah kaca itu, maka lemparan, hantaman batu dengan kaca dan pecahnya kaca semuanya adalah ciptaan Allah. Jadi seorang hamba hanyalah melakukan kasb (Kasb adalah apabila seorang hamba mengarahkan niat dan kehendaknya untuk melakukan suatu perbuatan dan pada saat itulah Allah menciptakan dan menampakkan perbuatan tersebut) , dan adapun yang mencipta hanya Allah sahaja, firman Allah:
لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَت
Maksudnya: bagi seseorang itu ganjaran bagi usahanya daripada perkara kebaikan, dan ke atasnya juga balasan bagi usahanya daripada perkara keburukan. (Surah Al-Baqarah, ayat 286)
#Kesimpulan daripada perbincangan ini adalah, hanya Allah sahaja yang mencipta, Allah sahaja pencipta, tiada yang mencipta selain Allah.. Kita sebagai makhluk tidaklah dipaksa namun kita ada pilihan dan pilihan kita di bawah kehendak Allah yang azal(tiada permulaan). Selain dari Allah adalah ciptaan, suatu yang dicipta ada ketentuan baginya, ada bentuk yang tertentu, tempat yang tertentu, arah yang tertentu, serta proses yang tertentu. Allah tiada bagiNya ketentuan, Dia tidak sama dengan ciptaan. Wallahu'alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment